Thursday, October 9, 2008

KITA DAN ANAK-ANAK KITA

Kita telah dewasa. Melewati zaman kanak-kanak dan remaja yang kita rasakan cukup mencabar. Benarkah? Kita akhirnya melalui tahun demi tahun sehingga usia yang dikira cukup matang. Tapi, benarkah kita telah dewasa?
Dalam usia begini, berkerjaya, berkeluarga, kita masih dipengaruhi alam kanak-kanak. Saban hari kita masih menari mengikut rentak yang sama. Kita masih mudah, bahkan teramat mudah dipengaruhi. Kalau dulu, kita sebagai anak-anak tanpa bantahan terpedaya dengan gula-gula atau jajan. Kini kita apa kurangnya? Kita masih mudah menjadi seperti kerbau yang ditarik hidungnya. Hari ini kita dibelenggu dengan jaminan kerjaya dan status sosial sehingga kita mendustakan kata hati sendiri. Berapa ramai orang yang berani kerana benar? Berapa ramai orang yang berani menyuarakan isi hatinya secara ikhlas?
Kita masih melakonkan watak yang sewajarnya telah kita tongsampahkan sejak lama dulu.Kenapa? Kerana kita adalah seorang dewasa yang tidak mampu memanfaatkan kedewasaan kita.